(Semua calon dan parti bertanding diminta terus patuh kepada SOP mengekang COVID-19)
KULAI, 5 Mac - Semua calon, termasuk calon muka baharu bersetuju kempen bersemuka memudahkan mereka mendekati pengundi dan mendengar kehendak masyarakat.
Interaksi dua hala ini memberi maklum balas segera daripada pengundi kepada bakal wakil rakyat.
(Calon BN Senai, Kenny Shen Poh Kuan dalam sebahagian aktiviti kempen hari ini)
Calon Barisan Nasional Senai, Kenny Shen Poh Kuan memulakan kempen bersemuka hari ini dengan bersarapan pagi bersama penduduk di Taman Beringin, Senai, Kulai.
Pertemuan kemudiannya diatur dengan komuniti Taman Bahagia, Senai.
"Sebenarnya ia membantu sebab sebelum ini kita terikat dengan SOP, masa dan peraturan kempen. Sekarang ada ruang dan kita rasa lebih selesalah tetapi masih perlu patuh kepada SOP ditetapkan, itu paling penting," kata Kenny Shen Poh Kuan.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi melakukan kempen dengan tinjauan mesra di pasar tani Jalan Merbau, Kulai.
(Calon PN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi hadir program berkhatan di Bandar Putra)
Beliau kemudian menyantuni kanak-kanak pada program berkhatan beramai-ramai di Bandar Putra.
"Paling penting kita dapat menyampaikan mesej dengan jelas, hajat dan harapan kita. Jadi dengan pendekatan secara bersemuka saya rasa langkah baik dan tepat dalam masa pilihan raya tetapi dengan pengawasan diri dan SOP mesti dijaga," katanya.
Begitu juga bagi Calon MUDA Bukit Permai, Azrol Rahani dan calon Pejuang Bukit Permai, Mokhtar Abdul Wahab.
Bagi mereka, peluang kempen secara fizikal membuka ruang lebih luas memperkenalkan diri kepada pengundi tempatan.
"Suasana dan kemesraan penduduk sangat baik. Ini dapat merapatkan lagi hubungan antara calon dan pengundi di Bukit Permai. Pendekatan ini juga sangat baik kerana calon dapat mendekati pengundi," kata Mohd Azrol.
"Sepanjang kempen saya suka walkabout kerana dapat berjumpa pengundi dan boleh mendapat maklum balas segera, apa kehendak mereka," menurut Mokhtar.