fb fb fb fb fb

Sentuhan peribadi pemimpin terdahulu, faktor BN pertahankan kerusi DUN Pelangai- MB

(Foto FB Barisan Nasional)

BENTONG, 7 Oktober- Sentuhan peribadi pemimpin terdahulu yang sentiasa dekat di hati pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menjadi faktor kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam mempertahankan kerusi tersebut.

Ia menjadi mesej jelas bahawa penduduk di Pelangai menolak pihak yang suka memainkan sentimen serta persepsi negatif dalam mempengaruhi pengundi DUN tersebut.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, legasi pemimpin seperti bekas Menteri Besar, Tan Sri Adnan Yaakob dan Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sentiasa dekat di hati warga Pelangai.

rtm
(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/BERNAMA)

"Pengundi di Pelangai telah merasai sentuhan daripada wakil rakyat sebelum ini berjenamakan Barisan Nasional UMNO, yang saya percaya telah banyak menyumbang kepada pembangunan di Pelangai.

"Banyak juga jasa mereka Tan Sri Long Nan dan juga Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan mereka merasakan sentuhan itulah menyebabkan mereka memilih juga calon daripada Barisan Nasional, supaya apa yang telah dilakukan wakil rakyat sebelum ini dapat diteruskan oleh calon Barisan Nasional", katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman rasmi Pegawai Pengurus Pilihanraya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai, Dato’ Mohammad Shahid Ismail di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong, Pahang.

PRK DUN Pelangai, menyaksikan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 43 undi.

Dengan kemenangan itu, BN terus mengekalkan 17 kerusi DUN, iaitu sama jumlah dengan PH, manakala PN kekal dengan lapan kerusi di negeri Pahang.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) merekodkan sebanyak 72.12 peratus daripada 16,456 pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRK kali ini.

Media Baharu