KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Sokongan mengundi Melayu dan Cina kepada Barisan Nasional (BN) meningkat lebih 50 peratus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang, menurut analisis Institut Darul Ehsan (IDE).
Analisis awal keputusan PRK berkenaan mencatatkan sokongan Melayu kepada BN meningkat kepada 52.1 peratus, manakala Cina meningkat 97 peratus.
Pola pengundian perbandingan bagi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) adalah 56.9 peratus, manakala 61.7 peratus pada PRK semalam dengan kenaikan sebanyak 11.5 peratus.
BN turut meraih meraih sokongan pengundi muda Melayu sebanyak 53 peratus iaitu 247 undi, berbanding Perikatan Nasional (PN) 47 peratus (281 undi) menerusi pola pengundian Undi 18.
"BN menguasai untuk undi awal khususnya umur 18 hingga 24 tahun, (manalaka) umur antara 25 hingga 50 tahun, PN mengekalkan penguasaan undi untuk umur tersebut sama seperti PRU 15 bagi undi Melayu.
"Pengundi Melayu BN berumur 50 tahun ke atas tegar kepada BN," katanya.
Analisis awal IDE tersebut adalah berdasarkan cerapan data keputusan PRK Pelangai yang dipaparkan di pusat penjumlahan undi sebagai keputusan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PRK Pelangai semalam mengesahkan BN yang diwakili Datuk Amizar Abu Adam menang majoriti 2,949 undi menerusi pertembungan tiga penjuru dengan 7,324 undi, sekali gus menewaskan PN diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli, 47 undi.