fb fb fb fb fb

RM17 bilion disalur kepada Sabah, bukti kerajaan MADANI tunaikan janji

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan bertemu masyarakat Cina di Bukit Padang di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 15 November –  Kerajaan MADANI menyalurkan sebanyak RM17 bilion kepada Sabah bagi menyelesaikan isu air, elektrik, jalan raya dan infrastruktur lain yang lama membelenggu rakyat negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata usaha itu membuktikan kerajaan tidak bercakap kosong, sebaliknya melaksanakan tindakan nyata termasuk RM1.2 bilion bagi menangani masalah bekalan elektrik.

"(dan) lebih RM1 bilion untuk memastikan rakyat Sabah menerima bekalan air bersih.

“Segala hasil dipulangkan kembali kepada rakyat. Kita tidak bercakap kosong tetapi membuktikan dengan tindakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata kerajaan memperuntukan RM2 bilion bagi memperkukuh ketersambungan internet melalui Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang melibatkan laluan ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau.

Dalam pertemuannya bersama masyarakat Cina di Bukit Padang malam tadi, beliau berkata kekuatan negara bergantung kepada perpaduan rakyat berbilang kaum dari seluruh negeri dan wilayah.

“Negara hanya dapat dibangunkan dengan menghimpun kekuatan rakyat pelbagai kaum… inilah tunjang kekuatan Kerajaan MADANI,” katanya.

Datuk Seri Anwar menambah, kerajaan akan terus bekerja keras mengangkat martabat rakyat Sabah dengan hasil yang boleh dirasai bersama.

GRACE AISYAH KEDAYAN