fb fb fb fb fb

Pejuang tidak bertanding PRN Sabah - SPR

Foto hiasan

KOTA KINABALU, 15 November - Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan ralat malam ini turut memaklumkan bahawa jumlah calon bertanding mewakili Parti Perjuangan Rakyat (PR) pada PRN ke-17 adalah seramai enam orang dan bukannya lima.

Terdahulu, Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media selepas selesai proses penamaan calon memaklumkan seorang calon Pejuang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan iaitu Lasius Miki.

Menurut pecahan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon Bebas muncul sebagai kumpulan terbesar dengan 74 calon, diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan 73 calon, serta Parti Impian Sabah (PIS) dengan 72 calon.

Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menampilkan 55 calon, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) mempertaruhkan 46 calon. Barisan Nasional (BN) mengemukakan 45 calon, Perikatan Nasional (PN) 42 calon, dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) 40 calon.

Selain itu, UPKO menampilkan 25 calon, Pakatan Harapan (PH) 22 calon, Parti Kebangsaan Sabah (PKS) 20 calon, manakala Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) meletakkan 17 calon.

Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) menyertai saingan dengan 16 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) 14 calon, manakala Parti Rumpun Sabah (Rumpun) menampilkan tujuh calon.

Turut bertanding, Parti Maju Sabah (SAPP) dengan enam calon, Parti Damai Sabah (SPP) lima calon, Perjuangan Rakyat (PR) enam calon, dan Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS) tiga calon.

Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut meletakkan tiga calon, diikuti Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) tiga calon, Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) masing-masing menampilkan seorang calon.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November. Sila layari portal Berita RTM di https://berita.rtm.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai PRN Sabah ke-17.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI