PENAMPANG, 15 November – Anak-anak Sabah perlu berpaut pada fakta dan tidak terpengaruh dengan naratif songsang pihak tertentu yang hanya berminat berpolitik tanpa menyelesaikan masalah rakyat ketika berkuasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kerosakan lampau, termasuk memperuntukkan RM17 bilion khusus kepada Sabah tahun in.
Katanya, peruntukan itu bagi menyelesaikan isu air, elektrik, jalan rosak dan liputan internet lemah yang sekian lama membelenggu rakyat negeri itu.
“Justeru, anak-anak Sabah perlu berpaut pada fakta agar tidak dipengaruhi naratif songsang oleh mereka yang hanya tahu berpolitik, yang gagal menyelesaikan masalah selama mereka berkuasa.
"Namun kini cuba tampil sebagai wira rakyat. Kita tidak bermain politik murahan; kita memperbaiki kerosakan yang mereka tinggalkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Datuk Seri Anwar memulakan lawatannya di Penampang, Sabah pada program Temu Anwar: Harapan Urang Muda Sabah.
Mengulas isu Pemberian Khas Sabah berasaskan 40 peratus hasil, Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan terhadap hak Sabah.
"Sebaliknya rundingan pelaksanaan bersama Kerajaan Sabah akan bermula Isnin depan," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa rayuan yang difailkan kerajaan hanya berkaitan tuduhan berat dalam Alasan Penghakiman terhadap semua kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 1974 termasuk pemimpin Sabah yang pernah berjasa.
Beliau menegaskan kerajaan MADANI tetap komited menunaikan hak negeri tersebut tanpa memperkecilkan peranan mereka.
"Dengan perpaduan semua kaum dan semua negeri, kita bukan sahaja mempertahankan hak Sabah, tetapi turut mengangkat martabat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya.