fb fb fb fb fb

Saingan lima penjuru di Parlimen Pekan

(Calon-calon bertanding parlimen Pekan)

PEKAN, 5 November- Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi parlimen P085 Pekan bermula pukul 9:00 pagi tadi berjalan lancar.

Kerusi parlimen Pekan antara yang menjadi tumpuan selepas penyandangnya mantan perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak disahkan tidak layak bertanding dalam PRU15 selepas hukuman penjara dikekalkan Mahkamah Persekutuan, 25 Ogos lalu.

Kerusi Parlimen Pekan itu ditandingi calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali dengan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon yang diwakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, Pakatan Harapan (PH) diwakili Mohd Naim Zainal Abidin termasuk seorang lagi calon Bebas, Tengku Zainul Hisyam Tengku Hussin dan Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak daripada Pejuang.

Sementara itu, turut menjadi perhatian pencalonan anak kepada mantan Perdana Menteri, Najib Razak iaitu Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib yang turut bertanding buat pertama kali di kerusi Dun Peramu Jaya dan akan ditentang Abu Talib Mohammad (PN) dan Tugimon Abdul Hamad (PH) serta calon Bebas, Tengku Zainul Hisyam Tengku Hussin.

Bagi pencalonan kerusi Pulau Manis, sekali lagi membabitkan, Datuk Khairuddin Mahmud (penyandang) dari BN, Mohd Rafiq Khan Ahmad Khan (PN) dan Khairil Khalid (PH).

Pencalonan kerusi Bebar, iaitu Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (penyandang), Narzatul Haidar Sakim (Bersatu) dan Ibrahim Sulaiman (Amanah), manakala calon Dun Chini membabitkan Mohd Sharim Md Zain (penyandang) dari BN yang bakal ditentang Fahrur Rozi Jalaluddin (PN) dan Mohamad Yazid Che Mat (PH).

Pengurus pilihan raya Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli telah membuat pengistiharan penamaan calon sekitar jam 12:45 tengahari tadi.


(Calon N. 021 Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib yang merupakan anak mantan Perdana Menteri, Najib Razak

turut menjadi perhatian apabila pertama kali bertanding bagi meneruskan legasi Perdana Menteri
kedua negara, Tun Abdul Razak Tun Hussein dalam kawasan Parlimen Pekan)

Media Baharu