fb fb fb fb fb

Parlimen Larut menyaksikan pertembungan empat penjuru

SELAMA, 5 November - Parlimen Larut menyaksikan pertembungan empat penjuru bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Kesemua calon hadir bersama penyokong dan pencadang masing-masing bagi proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Selama, Perak.

Barisan Nasional mencalonkan Mohd Shafiq Fhadly Mahmud. Beliau merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut yang merupakan anak jati Selama, Perak.

Manakala, Perikatan Nasional (PN) seperti yang diumumkan sebelum ini mencalonkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Larut.

parlimen
(Calon BN, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud dan Calon PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin)

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Zolkharnain Abidin. Beliau merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah, Parti Amanah Negara dan seorang lagi calon Auzaie Fadzlan Shahidi turut bertanding bagi mewakili PEJUANG.

Pengumuman senarai calon sah bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan, Mistoffa Alimin di Pejabat Tanah dan Daerah Selama, Perak pada pukul 12.00 tengah hari tadi.

Pihak Polis menganggarkan 5,000 orang penyokong dari pelbagai parti yang turun memberi sokongan kepada calon-calon mereka pada hari ini.

Persiapan rapi telah dibuat termasuk menempatkan 143 pegawai dan anggota sejak pukul 7.00 pagi, keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Media Baharu