fb fb fb fb fb

Proses penamaan calon di PPC seluruh negara lancar

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhadapan dua pencabar, daripada PH dan PN dalam misinnya bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada PRU15)

BERA, 5 November- Proses penamaan calon di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh negara termasuk di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera berjalan lancar dan sempurna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengikut laporan Ketua Polis Negara, tiada insiden yang tercetus sehingga berlakunya kekecohan ketika proses penamaan calon berlangsung.

Beliau berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana proses penamaan calon berlangsung dengan tenang.

"Proses penamaan calon telah selesai dan berjalan dengan lancar dan begitu juga saya mendapat laporan daripada Ketua Polis Negara keadaan yang sama, tidak ada insiden yang tercetus yang melibatkan kekecohan", katanya.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri)

Beliau juga memuji 36,935 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga keselamatan di kawasan-kawasan penamaan calon dan tidak berlaku kekecohan antara penyokong-penyokong.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Proses Penamaan Calon di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhadapan dua pencabar, masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam misinya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .

Mewakili Barisan Nasional (BN) dalam saingan tiga penjuru itu, beliau yang merupakan penyandang kerusi sejak 2004 ditentang calon Abas Awang (PH-PKR) dan Datuk Asmawi Harun (PN-Bersatu).

Pada PRU-14, beliau memperoleh 20,760 undi dan menang majoriti 2,311 undi.

Media Baharu