(Lapan calon kerusi Parlimen Sepang di PPC, Dewan Komuniti Serbaguna)
SEPANG, 5 November- Lapan calon kerusi Parlimen Sepang selesai menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Komuniti Serbaguna.
Ia sekali gus bakal menyaksikan pertembungan lapan penjuru di P113 Sepang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Lima calon mewakili parti politik iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PEJUANG, Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan tiga calon bebas turut hadir bersama dua pencadang dan penyokong.
Calon BN diwakili Anuar Basiran, Datuk Seri Rina Harun (PN), Aiman Athirah Al-Jundi (PH-AMANAH), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (PEJUANG) dan Nageswaran Ravi (PRM).
Muneswaran A/L Muhthiah, Mohd Syahrul bin Mat Sari serta Datuk Mohd Daud Leong daripada calon bebas.
Kemeriahan pesta demokrasi itu dihangatkan dengan laungan serta sorakan semangat daripada semua penyokong yang hadir di luar perkarangan dewan.
Lebih 50 anggota polis mengawal selia perkarangan luar dan dalam PPC sejak 7.00 pagi tadi, terutama, ketika perarakan masuk calon bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.
Pada PRU14, Parlimen Sepang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili Mohamed Hanipa Madin dengan jumlah undi 46,740 dengan majoriti 18,705.
(Anuar Basiran (tengah) mewakili Barisan Nasional)