fb fb fb fb fb

Khairy berdepan saingan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh

(Laluan utama di Persiaran Atmosfera yang menempatkan pusat penamaan calon turut
ditutup kira-kira 100 meter daripada pintu pusat penamaan calon berkenaan)


SUNGAI BULOH, 5 November -Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin yang akan menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ghazali Md Hamin dan calon Pakatan Harapan (PH), R. Ramanan.

Calon-calon bertanding diumumkan Pengurus Pilihan Raya P107 Sungai Buloh, Mohd Jusni Hashim yang turut memaklumkan bahawa tiada borang pencalonan yang ditolak.

"Calon lain adalah dari Pejuang, Mohd Akmal Mohd Yusoff, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Ahmad Zuflis Faiza serta calon bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri," katanya.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan, buat pertama kali bertanding di kawasan parlimen itu selepas bertukar dari kawasan parlimen Rembau.

Khairy tiba di Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Sungai Buloh bagi menghantar borang pencalonan parlimen berkenaan pada Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini kira-kira pukul 8:50 pagi.

Proses penamaan calon Parlimen P107 Sungai Buloh ditutup pada pukul 10.00 pagi dan kesemua calon selesai urusan penyerahan borang penamaan calon sebelum tamat waktu ditetapkan.

Keadaan pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh di Dewan Kenangan, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, dilihat tenang dengan penyokong parti bertanding mula memenuhi kawasan yang disediakan pihak berkuasa seawal 8:00 pagi.

 


(Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen P107 Sungai Buloh Khairy Jamaluddin (dua, kanan)
melambaikan tangan kepada pihak media ketika berada di Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan
Tanah Petaling bagi proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini/BERNAMA)

Laluan utama di Persiaran Atmosfera yang menempatkan pusat penamaan calon turut ditutup kira-kira 100 meter daripada pintu pusat penamaan calon berkenaan.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh dianggap 'kerusi panas', sebelum ini  dimenangi R. Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Pada PRU14, daftar pemilih untuk Parlimen Sungai Buloh adalah seramai 90,707 dan jumlah itu bertambah menjadi 158,090 bagi PRU15.

Daripada jumlah berkenaan, 9.25% pemilih adalah golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun.

Media Baharu