KUALA TERENGGANU, 18 November - Polis Terengganu meminta semua pihak yang meraikan kemenangan parti selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU Ke-15) esok agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Ketua Urusetia PRU Ke -15, PDRM Kontinjen Terengganu, Superintenden Mohd Aluwi Hussain berkata secara lazimnya sambutan kemenangan akan dibanjiri oleh kenderaan bermotor dan aktiviti konvoi berkereta di jalanraya.
"Kesalahan itu pertamanya dari segi menggunakan kenderaan...biasanya mereka tidak berhenti di lampu isyarat, berkonvoi, buat bising, ganggu masyarakat sekeliling dan kesalahan di bawah trafik boleh diambil tindakan," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Tambah Aluwi, seramai 3,278 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang hari pengundian esok.
Beliau juga turut mengingatkan para penyokong parti agar tidak menimbulkan provokasi ketika cuba meraih undi pada saat akhir.
"Sepanjang 13 hari kempen, tujuh kertas siasatan dibuka melibatkan masing-masing satu kes menghina calon dan ugutan jenayah serta lima kes khianat bendera parti...manakala satu kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan," katanya.