fb fb fb fb fb

Pengundian Parlimen Padang Serai ditetapkan 7 Disember - SPR

(FOTO FAIL)

PUTRAJAYA, 18 November - Pilihan Raya bagi Parlimen Padang Serai, Kedah tidak akan diadakan bersekali dengan PRU Ke-15 esok sebaliknya ditetapkan pada 7 Disember depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 24 November ini manakala hari mengundi awal pada 3 Disember.

Katanya, SPR menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai pada Rabu, berhubung kematian calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya pada hari sama.

(Tan Sri Abdul Ghani Salleh / FOTO FAIL)

“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 Nov hingga pukul 11.59 malam 6 Disember,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka dari 18 November dan ditutup pada 22 November.

Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

"Seramai 2,468 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai," katanya.

Media Baharu