(Ismail Sabri mahu semua parti terima keputusan PRU15 dengan hati terbuka)
BERA, 18 November- Kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selama dua minggu yang berjalan lancar bukti kematangan Keluarga Malaysia dalam berpolitik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kempen bukan penyebab untuk rakyat berpecah belah sebaliknya sebagai alat untuk menyatupadukan semua rakyat.
"Dua minggu berkempen saya lihat kempen berjalan lancar di seluruh negara dan tidak ada isu tidak diingini berlaku. Ini membuktikan kematangan rakyat Malaysia berpolitik. Tidak ada provokasi yang besar," katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Bandar 32 di Kemayan di sini.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut berharap proses pengundian esok berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku seperti kekecohan atau provokasi.
Katanya, rakyat perlu berlapang dada dan tidak membuat sebarang provokasi selepas keputusan PRU15 diumumkan.
Ujarnya, perayaan demokrasi harus diraikan dengan matang dan berhemah.
"Hari Ahad, 20 haribulan kita kembali hidup seperti normal, bermasyarakat seperti biasa. Jadi jangan kita akhiri kesempurnaan yang kita buat selama berkempen dengan perkara-perkara lain yang menimbulkan kekecohan di malam pengumuman kemenangan parti termasuklah hari seterusnya," katanya.
(Ismail Sabri di Kemayan Bera)