JERANTUT, 18 November - Pengundi luar yang pulang ke kampung halaman diingatkan supaya bijak memilih parti yang prihatin dan menjaga kebajikan rakyat, sekali gus membentuk kerajaan yang stabil, kata calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini banyak memperkenalkan insentif demi membantu rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Antara program kerajaan negeri adalah Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) dengan menyumbang wang tunai kepada keluarga bayi yang baru lahir.
Selain itu insentif sebanyak RM1,000 diberikan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), insentif kepada guru-guru dan penyelia Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Insentif Khas Pasangan Pengantin dan bantuan Prihatin Pahang.
"Berhati-hati dijalan raya, balik mengundi sama macam balik raya, balik mengundi nanti pilihlah kerajaan yang prihatin dan kebajikan kepada rakyat kita nak kerajaan yang stabil," katanya selepas Program Solat Hajat Dewan Negeri Pulau Tawar di Galeri Mat Kilau di sini.
Nazri Ngah berkata, beliau menggunakan peluang terakhir ini sebaik mungkin untuk mendekati dan bertemu dengan anak muda dan mahasiswa.
DUN Pulau Tawar esok bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara Nazri Ngah dari BN (UMNO); Yohanis Ahmad dari Perikatan Nasional (Pas); Norani Mohd @ Mohd Arshad dari Pakatan Harapan (Amanah); Mohd Rosidi Hassan dari Gerakan Tanah Air (Pejuang) dan Ridzuan Mansor (Bebas).