(Anggota RELA mengawal lalu lintas)
KUALA LUMPUR, 16 November- Lebih 19,000 anggota RELA seluruh negara sedia digerakkan bagi membantu pasukan keselamatan lain dalam memastikan tahap keselamatan di pusat mengundi terkawal, Sabtu ini.
Bantuan termasuk kawalan perimeter dan lalu lintas di lokasi terlibat.
Pengarah Bahagian Operasi RELA, Mohamad Razib Buhaini berkata, "pihak PDRM Bukit Aman memerlukan bantuan sumber manusia di peringkat RELA sendiri untuk membantu tugas tidak kritikal.
"Ia membolehkan pasukan PDRM fokus pada tugas utama yang mana elemen keselamatan menjadi tunjang utama dalam penugasan kali ini."
Mohamad Razib Buhaini berkata demikian ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Di samping itu bagi menghadapi Musim Tengkujuh, RELA menubuhkan pasukan khas bagi membantu memindahkan penduduk terjejas banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Rondaan pemantauan dan keselamatan bencana telah digerakkan sejak 15 Oktober lalu melibatkan lebih 4,000 pegawai dan anggota RELA di seluruh negara di lokasi berpotensi banjir.
(Mohamad Razib Buhaini ditemui pemberita di Angkasapuri)