KUALA LUMPUR, 1 November- Barisan Nasional (BN) menampilkan calon-calon lebih segar dengan gandingan muka baharu dan lama serta berpengalaman, termasuk dalam kalangan ‘Top 5’ UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing iaitu di Bagan Datuk dan Bera.
(Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)
"Barisan nasional juga akan menampilkan lebih 85% calon-calon yang mempunyai kelayakan akademik, di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran,” kata Ahmad Zahid pada Majlis Pengumuman calon BN malam ini.
"Barisan nasional akan mengutamakan ketaatsetiaan, tetap, khidmat dan muafakat," tambahnya.
Pengerusi BN itu turut mengumumkan Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon BN bagi kerusi Rembau, Negeri Sembilan.
Khairy Jamaluddin yang sebelum ini memegang kerusi Rembau, dicalonkan di Sungai Buloh.
Ahmad Zahid juga mengumumkan dua lagi calon daripada kalangan ‘Top 5’ UMNO iaitu Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid, calon di kerusi Parlimen Padang Terap, Kedah manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan bertanding di Kota Tinggi, Johor.
Untuk rekod top 5 merujuk kepada presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dicalonkan bertanding di Parlimen Lumut, Perak.
Selain kalangan calon yang dikenali ramai, BN turut menampilkan calon-calon berpengalaman seperti Datuk Dr. Mashitah Ibrahim di Kuala Kedah; Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Jerai dan Datuk Seri Razali Ibrahim di Pagoh.
Kalangan muka-muka baharu yang dicalonkan antaranya ialah pendakwah bebas Ustaz Kazim Elias bertanding di Larut dan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kuala Selangor.
Pada majlis pengumuman calon BN itu, calon-calon di beberapa kawasan seperti Tanjung Karang, Jempol, Kuala Pilah, Bandar Tun Razak, Tumpat dan Kuala Nerus tidak diumumkan dan difahamkan masih dalam penelitian.