KUALA LUMPUR, 2 November- Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menepis persepsi menggambarkan lawannya di Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai 'orang kuat'.
Sebaliknya Menteri Belia dan Sukan itu yakin mampu memberi saingan sengit terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana yakin Presiden PKR itu hanyalah 'orang biasa'.
(Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu)
"Hak beliau untuk bertanding dimana jua, kita harap pilihan raya & kempen dapat berjalan dengan baik. Itu yang saya harapkan dari semua pihak," katanya selepas Majlis Pengumuman Calon Parti Perikatan Nasional pada PRU15 di ibu negara.
20 Oktober lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dalam PRU15, sekali gus akan bertembung dengan Datuk Seri Ahmad Faizal yang menyandang kerusi itu ketika ini.
Datuk Seri Ahmad Faizal telah memenangi kerusi Tambun pada PRU14 atas tiket PH dengan majoriti 5,320 undi.