IPOH, 2 November- Lebih 50 peratus muka baharu, ditampilkan Barisan Nasional (BN) Perak, untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri, (DUN), pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan angka itu terdiri daripada ketua sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian.
Bagaimanapun, calon bagi empat lagi kerusi, masing-masing Aulong, Buntong, Jelapang dan Sungkai masih belum dimuktamadkan.
(Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad)
"Aulong asalnya kerusi Gerakan, jadi bila kerusi Gerakan, di peringkat komponen masih berbincang yang sepatutnya diberikan kerusi itu, tiga lagi kerusi MIC. Buntong, Jelapang dan Sungkai, mereka belum menamakan lagi kepada saya, semalam untuk Parlimen sudah diumumkan, kerusi negeri belum lagi", katanya.
Beliau berkata demikian selepas pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-15 Barisan Nasional Perak di Ipoh.
Beberapa penyandang kerusi pada pilihan raya lepas juga tidak dicalonkan disebabkan beberapa faktor, antaranya menarik diri dan tidak disambung semula untuk mewakili parti bertanding di kawasan yang disandang sebelum ini.
Beliau turut mengumumkan Ketua Koordinator Komunikasi BN, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud diumum sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen Larut menggantikan pendakwah bebas Datuk Mohammad Kazim Elias.
Mohd Shafiq, 37 tahun juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut dijangka berdepan dengan penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) serta Zolkarnain Abidin dari Pakatan Harapan.