(Mohd Yusri melakukan tinjauan udara)
IPOH, 18 November- Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dijangka akan terus meningkat sehingga lewat malam ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata antara kawasan yang berlaku kepadatan trafik yang tinggi ialah kawasan mendaki di Gua Tempurung dan Terowong Menora.
Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada kesesakan tersebut adalah disebabkan kenderaan berat yang menggunakan laluan sama.
"Kita lihat dari arah Tanjung Malim ke utara, dimana kenderaan bertambah dan ada sesetengah tempat kenderaan tidak bergerak langsung dan perkara ini dijangka akan berterusan hingga ke tengah malam ini," katanya kepada RTM ketika melakukan tinjauan udara disepanjang laluan lebuhraya tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata polis Perak telah bersiap sedia untuk menghadapi proses mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung esok.
"PDRM Perak akan memastikan keselamatan anda untuk keluar mengundi adalah terjamin," tambah beliau.
Lebih 7,000 anggota ditugaskan untuk menjaga kawasan pengundian bagi memastikan kelancaran PRU15.
(Aliran trafik arah utara sesak)