KEPALA BATAS, 18 November - Dibina untuk dijadikan pusat belia baharu, E-sport Youth Cabin kini menjadi pilihan generasi muda sebagai lubuk rezeki penduduk setempat sejak dibuka pada April lalu.
Fokusnya, untuk menjadikan kawasan ini sebagai kawasan yang mesra belia, golongan muda serta pembangunan bakat sukan akar umbi.
Selain mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa, pusat belia ini juga serba lengkap dengan kemudahan permainan konsol, Wifi percuma, serta gerai dan ruang makan yang kondusif.
Pusat belia ini juga mengumpulkan pemain e-sukan berbakat, Esport Youth Cabin sebagai punca pendapatan buat anak muda.
Calon parlimen BN, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sebagai kawasan di luar bandar, di pinggiran bandar atau bandar-bandar putra perlu mempunyai fasiliti prasarana yang menjadi cerminan dan aspirasi orang muda.
"Pusat belia ini bukan sahaja fokus kepada aktiviti harian malah dari segi tempat kunjungan orang awam juga boleh menjana pendapatan," katanya kepada RTM.
Pengurus E-sport Youth Cabin, Mohamad Khir Md Noor pula berkata, pusat belia itu menerima kunjungan hampir 1,000 anak muda untuk tempoh bulan Oktober.
"Maknanya dari 2004 sehingga bulan Oktober dan November, hampir 10,000 anak muda berada di sini dan setiap kali buat majlis, para peniaga di sini pasti teruja dan gembira sebab boleh membantu sumber pendapatan buat mereka," kata Mohamad Khir.
Ketika tinjauan RTM ke pusat belia ini, ternyata kewujudan tapak perniagaan meriah dengan pengunjung sekali gus membantu golongan peniaga kecil kembali menjalankan perniagaan selepas hampir lumpuh ketika pandemik COVID-19.
Peniaga, Muhammad Abdullah berkata kehadiran pemain sedikit sebanyak membantu jualannya setiap kali adanya sukan permainan seperti e-sport futsal.
Siti Nurekma Sabri akui mereka juga dikenali oleh pelanggan yang sering datang ke pusat belia itu bersama keluarga sambil makan dan bersukan.
Sementara itu, pengunjung V. Janarthanan yang ditemui RTM berkata Youth Cabin bukan saja melahirkan pemain-pemain e-sport malah menjadi medan perniagaan warga belia.
Tidak terhenti di sini, satu lagi pusat kegiatan dan ekonomi belia berskala besar dan menyeluruh bakal didirikan di Seberang Perai Utara.
Dijangka siap dalam tempoh dua tahun dengan kos RM45 juta , Kepala Batas Youth Centre bakal dilengkapi fasiliti bertaraf antarabangsa termasuk padang bola sepak, gelanggang badminton, skate park dan arena e-sukan.
Laporan Tuan Mohamad Ikram.