(FOTO BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 18 November - Masa untuk berkempen hanya tinggal berbaki kurang 12 jam sahaja lagi, kesemua calon dan jentera parti terus meluangkan masa menyantuni sebilangan kecil pengundi yang masih belum sempat ditemui.
Tepat 11.59 malam ini, tempoh 14 hari kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan tamat.
Semua calon memanfaatkan saat-saat akhir ini untuk menyuarakan harapan masing-masing terutamanya kepada pengundi buat pertama kali dan jentera parti.
Sebaik sahaja tempoh untuk berkempen tamat pada tengah malam ini, semua aktiviti merayu undi tidak dibenarkan, terutamanya pada hari pengundian esok.
Oleh itu, menjelang saat akhir tempoh kempen kesemua calon dan jentera parti giat membuat 'pecutan akhir', bertemu daftar pemilih.
Di Johor Bahru, calon-calon bertanding terus menyantuni pengundi di sekitar Parlimen Parit Sulong.
Selain beramah mesra, kempen diperhebat menerusi kesemua platform media sosial.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, memuat naik aktiviti beramah mesra bersama golongan wanita menerusi Program Refleksilogi PDM Parit Maimon dan Parit Gantung, sebelum meneruskan Program Ziarah Kasih di Sejagong dan Medan Barat.
Sementara itu, Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Abdul Karim Deraman berkata, akan membuat tinjauan mesra di Parit Simen dan Teluk Bakung, sebelum hadir Ceramah kelompok Jalan Batu Putih, pada 9 malam ini.
Manakala, calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Faizal Dolah pula mendekati pengundi sekitar Taman Raja 1, Parit Sulong, dan bertemu penduduk sekitar dun semerah selepas solat Jumaat.
Di Parlimen Sembrong pula, calon BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mengadakan pertemuan dan bersarapan bersama kumpulan mahasiswa.
Selain program makan tengah hari dan juga tinjauan pada sebelah petang.
"Apa yang saya banggakana, walaupun dalam keadaan berkempen namun tiada insiden yang tidak diingini berlaku, kita mahukan politik yang ada had dan juga batasan," katanya ketika kepada pemberita.
Sementara calon muka baharu PN, Aziz Ismail mengambil peluang meninjau kawasan di Felda Ulu Belitong.
Esok sejumlah 54, 931 pengundi bakal mengundi di Parlimen Sembrong
Sementara itu di Kubang Pasu, Kedah pula bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Calon parlimen Kubang Pasu PN, Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan isteri disertai jentera parti, terus menyantuni penduduk setempat, antaranya dengan bertemu penduduk Taman Seri Aman, Jitra.
Semua calon serta jentera parti bertanding, menjalankan aktiviti kempen secara sihat dan matang.
(Kemeriahan 'perang' bendera parti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan/FOTO BERNAMA)
Di Sungai Petani pula, calon BN, Datuk Shahanim Muhamad Yusoff terus menyantuni daftar pemilih terutamanya golongan muda yang bakal menunaikan tanggungjawab untuk pertama kali.
Di Melaka, calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali pula yakin mampu mencipta kejutan pada pilihan raya kali ini.
Keyakinan itu berdasarkan maklum balas pengundi pada sesi turun padang ketika menyantuni masyarakat setempat.
Sementara itu, calon PH, Adam Adli Abd Halim berkata, fokus kempen saat akhir adalah bertemu dengan masyarakat setempat.
Calon Pejuang, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh pula, menggunakan pendekatan “sentuhan peribadi” dan media sosial bagi mendekati pengundi.
Suasana di Pantai Timur pula terutamanya di Kelantan, 50 belia daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Idealis Anak Muda dan Persatuan Mahasiswa Machang Malaysia (PEMANCAR) mengambil inisiatif membantu kempen, calon BN Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Pengerusi Idealis Anak Muda Wan Mahussin Wan Zain ditemui RTM berkata mereka membawa risalah kepada orang ramai yang mengunjungi Pasar Tani Machang yang menjadi tumpuan orang ramai.
"Kita nak bagi penerangan dan penjelasan kepada anak muda tentang pentingnya kita sebagai pengundi untuk memilih pemimpin selain memberi kesedaran kepada semua," katanya.
Sementara itu, bagi Parlimen Machang menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu calon BN, Datuk Ahmad Jazlan ditentang Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal (PN), Dr Rosli Allani Abd Kadir (PH) dan Mejar (B) Muhamad Seman (PUTRA).