KUALA LUMPUR, 18 November - Pengundi dinasihatkan untuk mengikut masa keluar mengundi seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata seramai 20,853,681 orang pengundi bakal mengundi pada PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
Katanya, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang di semenanjung manakala 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak atau waktu yang telah diwartakan.
“Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambahnya, pengundi juga dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
"SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi esok," katanya.