fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor : PN harap SOP ketika berkempen dipertimbang semula


KULAI, 23 Februari
- Perikatan Nasional, PN berharap SOP semasa minggu kempen Pilihan Raya Umum, (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 dapat dipertimbangkan semula, berikutan terdapat beberapa syarat yang diperkenalkan, tidak praktikal.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, syarat kehadiran 100 tetamu dalam satu majlis ceramah atau kempen diharap dapat diperhalusi semula, terutama di kawasan yang mempunyai ramai penduduk.

"Tidak akan lah orang dari seluruh Johor kena datang ke situ (bilik gerakan) yang mungkin agak jauh dari kediaman mereka. Ini bagi saya tidak praktikal.

"Kalau satu kawasan ada 30,000 pengundi, macam mana kita nak hubungi semua pengundi dan minta mereka datang ke bilik gerakan bagi memperkenalkan calon dan berkempen.

"Kebenaran diberi kepada 100 orang, kita kawallah tetapi tak akanlah hanya boleh buat ceramah di satu tempat sahaja.Sedangkan majlis sosial termasuk majlis perkahwinan dibenarkan. Apa beza kempen dengan majlis perkahwinan.

"Langkah- langkah yang diperkenalkan ini macam ada sedikit kelonggaran tapi tidak memadai kerana tempoh kempen tak panjang, nak kenalkan diri dua minggu orang tak kenal, jadi nak minta pertimbangkan semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ramah Mesra Warga FELDA bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Dewan Serbaguna FELDA Taib Andak, Kulai.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Berdasarkan SOP SPR, penganjuran ceramah, syarahan atau kempen di PRN Johor dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Hanya individu yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan hadir dalam penganjuran program itu dengan penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tempoh setiap aktiviti hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam manakala penganjuran di premis terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

SOP pada program itu termasuklah mengawal pintu masuk dan kehadiran peserta ke dalam pejabat parti atau bilik gerakan parti dengan hanya memastikan satu laluan untuk masuk dan satu laluan untuk keluar.

Sementara itu, menjelang pengumuman senarai calon PN pada Sabtu, Muhyiddin memaklumkan, pembahagian kerusi telah selesai dengan nama-nama yang akan diumumkan melibatkan pelbagai usia, latar pendidikan serta kerjaya.

 

Media Baharu