MUAR, 23 Februari- Polis Johor mengenal pasti sekurang-kurangnya 17 kawasan di negeri itu, berisiko berdepan kekecohan ketika pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 yang bermula dengan penamaan calon pada Sabtu ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya juga sudah menubuhkan beberapa pasukan pemantau bagi memastikan proses PRU Dewan Negeri Johor berjalan lancar dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
"Lokasi panas yang dikenal pasti mengambil kira sentimen persaingan politik, isu perkauman, jenayah kongsi gelap, pertaruhan serta pelbagai aktiviti jenayah termasuk mereka yang mempunyai rekod lampau.
"Justeru amaran kepada semua pihak termasuk penyokong parti politik untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh menggugat ketenteraman awam sepanjang pelaksanaan PRN Johor yang mempunyai 56 kawasan DUN.
"Di seluruh Johor, daripada 56 DUN itu, hasil risikan mungkin 17 DUN yang kita anggap panas, bukan sahaja politik, tetapi panas juga dari segi kegiatan aktiviti gangsterisme dan aktiviti perjudian dalam pilihan raya kawasan terbabit dari segi kaum, persaingan politik, kongsi gelap dan juga aktiviti yang dijalankan mereka termasuk yang mempunyai rekod lampau," katanya.
Tegasnya, Polis Johor bagaimanapun sudah mengumpul maklumat risikan dan telah mengambil langkah mendakan pertemuan berjumpa dengan ketua-ketua kampung dan pemimpin masyarakat sebagai persediaan awal untuk membantu kelancaran perjalanan P dalam usaha menyuburkan amalan demokrasi negara.
"Kita juga mengarahkan pemantauan lebih rapi terhadap lokasi berisiko berkenaan, termasuk melaksanakan pemantauan menggunakan dron," katanya.
Beliau memberitahu demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis memperingati peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong di sini, hari ini.
Bersempena Hari Polis ke-215 di Bukit Kepong, Muar, pada Rabu, Polis Johor menganjurkan majlis berkenaan bagi memperingati serangan pengganas komunis yang mengorbankan 24 pegawai, anggota serta ahli keluarga polis, 72 tahun lalu.
"Kami mengadakan majlis menziarahi pusara, dan diakhiri dengan bacaan yaasin, selain sumbangan dan penghargaan turut diberikan kepada waris-waris pejuang tragedi Bukit Kepong," katanya.
Sementara itu, antara waris tragedi Bukit Kepong, Jamilah Abu Bakar berkongsi detik menyayat hati kejadian lebih 70 tahun itu.
"Komunis tembak bapa saya, emak dan adik saya mati berpelukan, kemudian saya dicampak ke dalam longkang dan hampir ditikam dengan bayonet," katanya.
Sementara itu, cucu pejuang Bukit Kepong, Redzuan Ahmad berkata, dia tetap merasa semangat perjuangan datuknya walau tidak menjadi saksi pertempuran berdarah itu.
"Yang terkorban ialah datuk saya iaitu Ibrahim bin Adam, yang bertugas sebagai polis marin ketika itu, walau tak menyaksikan dengan mata sendiri, semangat perjuangan tetap terasa terutama dengan penganjuran majlis peringatan sebegini," katanya.