fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor: Pemasangan bahan kempen perlu patuhi peraturan

(Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Ezlan Farid Mohd Said)

JOHOR BAHRU, 1 Mac - Bahang kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor yang memasuki hari keempat, hari ini semakin meriah dengan pemasangan bendera dan poster di segenap penjuru.

Di kawasan Gambir dan Tangkak umpamanya perang bendera sudah mula menghiasi kawasan sekeliling.

Namun, sebarang pemasangan bahan kempen perlu mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

(Pemasangan bahan kempen di sekitar kawasan Gambir)

Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Ezlan Farid Mohd Said berkata pemasangan bahan kempen perlu berlandaskan peraturan bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat setempat.

"Saya menasihatkan agar pemasangan bahan kempen ini perlu menjaga sensitiviti orang ramai dan tidak membuat kacau sehingga boleh mengganggu lalu lintas dan unsur vandalisme," katanya kepada RTM.

Dalam pada itu, Ezlan Farid menekankan pemasangan bendera di premis persendirian tidak dibenarkan kecuali premis tersebut milik parti atau pun parti telah mendapat persetujuan daripada pemilik premis.

"Parti bertanding perlu membayar deposit RM3,000 kepada SPR dan RM5,000 kepada PBT. Ada beberapa tempat yang kita telah kenal pasti tidak boleh dipasang bendera, poster dan parti-parti telah dimaklumkan akan perkara itu," katanya.

(Pemasangan bendera dapat dilihat di kawasan tumpuan orang ramai)

Dalam keghairahan parti-parti bertanding berkempen bagi memenangi hati pengundi, bukan alasan untuk mereka tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan SPR dan pihak berkuasa.

"Sekiranya terdapat pemasangan bahan kempen yang menimbulkan kekacauan dan melanggar peraturan, orang ramai boleh melaporkan perkara itu kepada pihak SPR atau PBT," tambah Ezlan Farid.

Laporan Sazswani Samsu.

Media Baharu