(Dr Muhamad Nadzri Mohamed Nor/UKM)
JOHOR BAHRU, 1 Mac - Mempertaruhkan muka baharu dan calon muda dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor merupakan satu strategi yang baik.
Penganalisis melihat langkah itu dapat membawa nafas baharu dalam kancah politik berasaskan prinsip dan kepentingan bersama dalam sistem kepartian.
Pemerhati Politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Nor berkata parti perlu berani mengambil risiko kerana calon baharu mungkin lebih bebas daripada legasi atau amalan politik lama, sekali gus dapat menyalurkan perspektif baharu ke dalam parti masing-masing.
Beliau yang juga Ketua Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melihat calon muka baharu terutama calon muda wajar diberi peluang kerana mereka juga cakna dengan isu-isu semasa.
"Saya melihat semua orang berhak untuk diberikan peluang apatah lagi semasa proses pilihan raya ini mereka dapat menunjukkan kemampuan, kepimpinan, gerak kerja dan janji.
"Saya melihat tidak ada masalah, umur sekadar nombor dan apa yang penting minat serta iltizam mereka untuk menarik minat orang ramai," katanya ketika dihubungi RTM.
(Dr Nur Azah Razali/UTHM)
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor, Dr Nur Azah Razali pula berpendapat mempertaruhkan calon muda dapat melahirkan lebih ramai pelapis dan tokoh baharu dalam politik.
"Usaha ini bersesuaian dan sejajar dengan aspirasi negara yang ingin mengangkat suara anak-anak muda ke dalam sistem pemerintahan negara dan melibatkan mereka dalam sistem pentadbiran dan pembangunan negara," tambahnya.