JOHOR BAHRU, 1 Mac - Penamaan calon wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor perlu dilihat dari sudut positif.
Langkah itu bukan sahaja memberi nafas baharu kepada parti malah merupakan satu keputusan yang strategik.
Melihat kepada zaman yang sudah berubah, wanita hari ini lebih berdaya saing dan setanding lelaki.
Pemerhati Politik, Dr Muhammad Nadzri Mohammed Nor berkata pertambahan calon wanita membuktikan peranan golongan itu diiktiraf sebagai pemangkin kepada pembangunan negara.
Sekali gus membuktikan parti-parti mengakui kemampuan wanita di peringkat pembuat keputusan.
"Barisan Nasional (BN) saya lihat lebih kehadapan meletakkan calon wanita, antara sebab mungkin BN banyak belajar dari PRU Melaka yang meletakkan ramai calon wanita. Diharapkan pada PRU ke-15 kita masih banyak lagi ruang untuk ditambahbaik dan Johor satu permulaan dan perkembangan yang menarik," katanya ketika dihubungi RTM.
(Calon BN, Hasrunizah Hassan/FB)
Sementara itu, calon BN bagi kerusi Dewan Negeri Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan menyifatkan penilaian parti terhadap golongan wanita membuktikan tiada sifat pilih kasih dalam pemilihan calon demi pembangunan negeri Johor itu sendiri.
"Kita lihat ada 14 calon wanita yang telah diletakkan di Dewan Negeri untuk PRU Dewan Negeri Johor. Ini membuktikan kepercayaan terhadap wanita dalam menjalankan tugas dengan baik. Wanita kalau disuruh bekerja dia akan melaksanakan dengan bersungguh-sungguh," katanya.
(Calon BN, Chan San San mengedarkan risalah kempen/FB)
Seorang lagi calon BN bagi kerusi Dewan Negeri Johor Jaya, Chan San San pula amat berbesar hati diberi kepercayaan untuk mewakili parti tersebut.
Beliau optimis peluangnya cerah memandangkan merupakan anak jati kawasan berkenaan.
"Bukan hari ini saya berkhidmat tetapi sudah 12 tahun, penduduk dah kenal dan tidak menjadi masalah untuk saya bertanding di kawasan ini. Saya juga tahu apakah keperluan mereka di sini," kata beliau.
(Calon Muda, Amira Aisya Abd Aziz/FB)
Sementara itu, calon Muda bagi kerusi Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz pula menegaskan, pemilihan wanita sebagai calon membuktikan gelanggang politik bukan eksklusif untuk golongan lelaki sahaja.
"Pada masa sama saya fikir perkara ini menjangkaui jantina dan bangsa. Apa yang penting adalah memberi khidmat terbaik," kata beliau.
Laporan Atikah Makhtar