JOHOR BAHRU, 1 Mac - Kempen hari keempat Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 diteruskan hari ini dengan masing-masing menjalankan kempen secara bersemuka termasuk menziarahi golongan peniaga dan penduduk tempatan.
Selain itu ada juga calon yang menggunakan platform media sosial bagi memperkenalkan diri termasuk menerusi FB Live.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Negeri Larkin, Hairi Md Shah misalnya mengisi jadual kempen sebelah pagi tadi dengan meninjau golongan peniaga sekitar Larkin manakala calon BN Puteri Wangsa, Ng Yew Aik juga menggunakan pendekatan sama bagi mendekati penduduk.
Laman facebook calon Benut, Datuk Hasni Mohammad pula memaparkan jadual pelancaran Ikhtiar BN Johor yang dijadual pukul 3 petang ini dengan dirasmikan Pengarah Pilihanraya BN Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan.
(Pelancaran Ikhtiar BN Johor yang dijadual berlangsung pukul 3 petang)
Perikatan Nasional, PN juga tidak kurang dengan kempen menggunakan media sosial untuk memperkenalkan calonnya.
Calon Dewan Negeri Yong Peng, Susan Yong dan calon Dewan Negeri Tanjung Surat, Selamat Ujud hari ini bersiaran langsung menerusi Fb live.
PKR pula mendekati golongan pengundi menerusi aplikasi Tik Tok oleh calon Tanjung Surat, Rosman Tahir.