PONTIAN, 26 Februari - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohamad berdepan pertandingan empat penjuru dalam usaha beliau mempertahankan kerusi N53 Benut pada PRU Dewan Negeri, 12 Mac ini.
Hasni yang juga Menteri Besar Johor akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Abdul Hamid dan calon PKR, Hanif@Ghazali Hosman.
Manakala seorang lagi calon parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Iskandar Noor Ibrahim.
Pengumuman keempat-empat calon yang bertanding dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Rafi Abdullah di Dewan Serbaguna Benut.
Ditemui media kemudian, Hasni yang juga penyandang kerusi Dewan Negeri Benut sejak 2008 melihat pertembungan empat penjuru yang dihadapi memperlihatkan demokrasi dalam politik negeri ini.
"Kita dapat melihat proses demokrasi di negeri ini. Proses penamaan calon yang berlangsung juga berjalan lancar dan suasana kemesraan dapat dilihat antara calon yang bertanding," katanya.
Sementara itu, calon PN Isa Abdul Hamid melihat perlawanan yang dihadapi sebagai suatu yang positif.
"Kita melihat persaingan empat penjuru yang dihadapi sangat sihat, satu proses demokrasi dan saya melihat semua calon yang bertanding sebagai cabaran," katanya di sini hari ini.
(Calon PN bagi Dewan Negeri Benut, Senator Datuk Isa Abdul Hamid)
Berdasarkan daftar pengundi yang direkodkan hingga 21 Januri 2022, Dewan Negeri Benut mempunyai seramai 28,165 pengundui berdafar.
Daripada jumlah itu, 14,198 merupakan pengundi wanita. Daftar pemilih bagi pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun seramai 1,616.