JOHOR BAHRU, 26 Februari - Calon PKR bagi kerusi Dewan Negeri N09 Gambir, Naim Jusri disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan kesihatan sebaik tiba di Pusat Penamaan Calon, Dewan Serbaguna Bukit Gambir.
Bagaimanapun, Naim masih dibenarkan bertanding dan penyerahan borang pencalonan diwakili oleh Pencadang dan Penyokong.
(Calon PRK Naim Jusri/FB)
Terdahulu, sebaik penyerahan borang pencalonan tamat pada pukul 10 pagi, Penolong Pegawai Pengurus Dewan Negeri N09 Gambir, Ab Rahman Mohamed@Ismail Selamat mengumumkan kerusi Dewan Negeri berkenaan menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Ia melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
BN diwakili Sahrizan Jani dan PN oleh Mohd Solihan Badri. Manakala PKR mempertaruhkan Naim Jusri dan Parti Pejuang, Suraya Sulaiman.