LARKIN, 22 Februari - Sebanyak 24 daripada 56 premis dijadikan Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 telah diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri.
Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa premis yang memerlukan penyelenggaraan menjelang hari penamaan calon nanti.
"Baki 32 premis lagi dijangka selesai diperiksa selewat-lewatnya 25 Februari ini bagi memastikan aspek keselamatan bangunan dalam keadaan baik.
"Beberapa bangunan di premis berkenaan tidak mempunyai lampu kecemasan keluar tidak bernyala dan pam pili air tidak diselenggara," katanya.
Oleh itu, beliau berharap pemilik premis dapat mengambil tindakan segera untuk menyelenggara bangunan mereka.
Beliau berkata demikian selepas menjalankan pemeriksaan di Pusat Penamaan Calon Dewan Negeri Larkin.
Dalam pada itu, seramai 52 anggota dan pegawai JBPM telah mendaftar dan berjaya dalam permohonan sebagai Pengundi Pos, pada PRU Dewan Negeri kali ini.