PUTRAJAYA, 22 Februari - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor mula dijual di Ibu Pejabat SPR Putrajaya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor mulai semalam.
SPR menerusi kenyataan memaklumkan, menerusi peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, suruhanjaya itu dibenarkan menjual daftar pemilih termasuk Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) dan Daftar Pemilih Induk 2021 (DPI 2021) secara salinan cetak dan 'softcopy'.
"Daftar pemilih 'softcopy' boleh didapatkan dalam dua format berbeza iaitu Portable Document Format (PDF) atau format Microsoft Access Database (MDB) dengan kadar harga yang telah ditetapkan dan boleh dibeli melalui Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau di semua Pejabat PRN," katanya hari ini.
Menurut SPR, DPT BLN12/2021 telah diwartakan pada 14 Januari, manakala DPI 2021 diwartakan pada 17 Januari lepas juga boleh disemak melalui beberapa kaedah termasuk di portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my; aplikasi dalam talian di https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan portal rasmi pejabat-pejabat PRN di laman http://ppn.spr.gov.my.
"Di samping itu, SPR juga menyediakan kemudahan semakan dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, bagi pemilih berdaftar yang mempunyai akaun MySPR selain menyemak senarai nama pemilih dalam DPT BLN12/2021 bagi bahagian pilihan rayanya," menurut SPR.
SPR turut menegaskan bahawa pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas adalah berdasarkan maklumat warganegara yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
SPR juga menasihatkan semua bakal pengundi PRU Dewan Negeri Johor supaya membuat semakan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka mulai semalam di pautan berkenaan atau hubungi 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.