JOHOR BAHRU, 21 Februari - Sekurang-kurangnya 30% calon muka baharu bakal ditampilkan Barisan Nasional, BN Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15, 12 Mac depan.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata langkah diambil dapat meningkatkan peluang BN memenangi pilihan raya itu kelak.
Menurutnya, senarai nama calon sudahpun di peringkat akhir dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Secara umumnya Johor mempunyai jumlah muka baharu yang ramai termasuk calon muda di bawah 40 tahun. Jadi itu saya yakin dapat memperkuatkan peluang BN untuk berjaya dalam pilihan raya kali ini.
"Senarai penuh calon akan kita umumkan pada 24 Februari ini," katanya pada Majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor 2022, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi BN negeri memberitahu, setiap pemimpin yang diberi tempat dalam kerajaan perlu melakukan yang terbaik untuk rakyat.
Sekali gus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan tidak menafikan sumbangan pemimpin-pemimpin lain yang turut berjasa kepada Johor dan negara.