fb fb fb fb fb

Pembahagian kerusi belum dimuktamadkan untuk MCA

 



JOHOR BAHRU, 20 Februari- Perbincangan pembahagian kerusi yang akan ditandingi MCA dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 pada 12 Mac ini belum dimuktamadkan lagi dan kini masih dalam proses perbincangan dengan Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, perbincangan dilakukan secara musyawarah serta atas semangat perkongsian kuasa antara parti-parti komponen BN dan akan diumum satu atau 2 hari sebelum penamaan calon.

"Apa sahaja yang dibincangkan, kita akan cari formula terbaik untuk semua pihak, tidak boleh didedahkan dan apa yang belum dimuktamadkan tidak wajar dimaklumkan. Kita bukan nak tuntut kerusi melalui media, itu hanya perang mulut sahaja," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di sini pada Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Apabila ditanya mengenai sentimen pengundi Cina pada PRN Johor, beliau berkata, secara umumnya rakyat perlu menilai pihak yang boleh membawa dan mengutamakan kestabilan politik di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, apabila politik tidak stabil akan memberi kesan kepada kerajaan negeri malah sukar untuk satu-satu projek berjalan lancar termasuk tidak mampu menarik pelaburan domestik ataupun dari luar negara.

Sementara itu, beliau ketika mengulas berkenaan Prosedur Operasi Standard, (SOP) kempen PRU Dewan Negeri Johor berkata, semua pihak perlu akur bagi mencegah penularan COVID-19.

Ka Siong berkata, SOP lebih longgar berbanding semasa di Melaka wajar dipatuhi sepenuhnya, demi kebaikan semua pihak.

"Saya ingat masa di Melaka tidak boleh tetapi sekurang-kurangnya, sekarang sudah ada ruang untuk kita duduk dalam bilik gerakan, dan dibenarkan, masih boleh mengadakan perbincangan atau nak buat satu program yang tidak melibatkan lebih 100 org," katanya.

Media Baharu