JOHOR BAHRU, 26 Februari - Pilihan Raya Umum Negeri Johor ke-15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon. Sebanyak 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) akan dibuka pukul 9.00 pagi nanti dan proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup kira-kira sejam selepas itu.
Sekurang-kurangnya 14 parti, secara solo atau gabungan selain calon bebas telah menyatakan hasrat bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Negeri.
Ini termasuk parti gabungan utama seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Turut mengesahkan bertanding parti Muda, Pejuang, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia yang pertama kali mencuba nasib di gelanggang PRU Dewan Negeri Johor.
Dijangkakan seramai 222 calon parti tidak termasuk calon bebas akan mengemukakan borang pencalonan.
Seperti sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses penamaan calon dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong yang mengiringi calon.
Kebenaran hanya diberikan kepada calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka untuk masuk ke dalam pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon.
Prosedur Operasi Standard (SOP) turut menetapkan tiada wakil dan penyokong parti turut dibenarkan hadir ke pusat penamaan.
Selain itu, bilangan laluan masuk ke pusat penamaan juga dihadkan bagi tujuan kawalan membabitkan laluan media, calon, pencadang atau penyokong dan laluan ahli atau pegawai SPR dan petugas pilihan raya.
Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, Pegawai Pengurus Pilihan Raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding.
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRU Dewan Negeri Johor pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac.