fb fb fb fb fb

Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum, PRU Dewan Negeri Johor ke-15, esok

 

JOHOR BAHRU, 25 Februari - Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum, PRU Dewan Negeri Johor ke-15 akan berlangsung esok.

Senarai nama calon bertanding telah diketengahkan, dengan gabungan muka baharu dan lama.

Siapa pun calonnya sudah pasti membawa harapan parti, sekali gus bakal membawa suara rakyat.

Pastinya semua calon diketengahkan menepati kriteria yang ditetapkan parti dan diyakini mampu menangani hati rakyat.

Pengumuman senarai calon lebih awal diakui memberi ruang kepada mereka untuk membuat persediaan sebelum menyertai pilihan raya, yang bakal menentukan corak dan kedudukan Kerajaan Johor.

Calon yang dipilih mestilah berwibawa, kerana bakal membawa aspirasi rakyat.

Perlu diingat juga, parti bukan lagi ukuran, sebaliknya calon ditampilkan dan sumbangan kepada masyarakat menjadi pilihan pengundi.

"Maka adalah penting sekali parti-parti politik kemukakan calon berintegriti, calon yang sedia berkhidmat dan tidak mementingkan diri sendiri. Sebaliknya meletakkan kepentingn negara dan rakyat lebih daripada kepentingan peribadi. Mengenai pengundi layak berusia 18 hingga 20 tahun, calon seharusnya bijak memanfaatkan media sosial untuk menyampaikan maklumat," kata Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali.

Selain itu, pengumuman awal nama calon membolehkan mereka dikenali penduduk tempatan, terutamanya bagi muka-muka baharu.

"Pendekatan ini sudah dilakukan dalam pendekatan pemasaran politik, iaitu walaupun calon tidak dicalonkan lebih awal tetapi mereka dah bersama pengundi lebih awal, mungkin indikator-indikator itu mereka boleh agaklah. Pengundi ada kuasa, disitu saya rasa agak menggerunkan parti-parti politik walaupun mereka menampilkan calon hebat, nama besar, tokoh, tetapi kerana sejarah silam menyebabkan mereka terheret kepada persoalan dalaman," menurut Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Ismai Sualman.

Pengumuman nama calon lebih awal juga membolehkan parti melihat penerimaan pengundi.

"Sesetangah parti lambat menamakan calon mereka kemungkinan mereka belum buat keputusan muktamad. Kerana masih ada perbincangan ataupun masih mencari calon yang sesuai. Jadi dalam hal ini strateginya namakan calon lebih awal supaya menampakkan keyakinan parti dan seterusnya penyokong akan menjadi yakin," Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr. Azmi Hassan.

Pengaruh Bangsa Johor juga dilihat sangat memain peranan dalam pemilihan pemimpin di Johor.

Calon yang menang tidak hanya mewakili parti atau individu tertentu, apa yang lebih penting, pastinya mewakili rakyat Johor, dan mendahulukan kepentingan bangsa Johor.

Laporan Nur Aqeela Arbaen.

 

Media Baharu