(Datuk Abdul Ghani Harun melawat PPS SK Kedai Tanjong Pasir Mas)
PASIR MAS, 15 November- Berbaki kurang empat hari sahaja lagi sebelum tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tamat, calon-calon serta jentera-jentera parti di Kelantan terus menggandakan aktiviti di parlimen masing-masing.
Calon Barisan Nasional Parlimen Pasir Mas Datuk Abdul Ghani Harun, bersama jentera parti antara yang giat melakukan pelbagai program bersama penduduk selain melakukan tinjauan ke pasar, serta lokasi awam.
Tiada istilah berehat bagi calon berikutan tempoh berkempen semakin singkat, apatah lagi kawasan bagi parlimen tersebut dilanda banjir ketika ini.
Antara rutin harian yang dilakukan adalah menyantuni penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta kediaman dinaiki air.
Menurut Abdul Ghani Harun, "rakyat di sini dahagakan pembangunan. Mereka akan dapat mencari rezeki dan mengembangkan ekonomi untuk menyara keluarga.Kita terus perjuangkan rakyat supaya mendapat kelebihan hidup sekeluarga seterusnya dia akan sayang pada negara, bangsa dan ugama dia."
Beliau, meninjau PPS SK Kedai Tanjong Pasir Mas yang menempatkan 30 penduduk daripada sembilan keluarga.
Parlimen Pasir Mas, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara penyandangnya, Ahmad Fadhli Saari, dari Perikatan Nasional (PN) ditentang tiga calon lain, masing-masing Datuk Abdul Ghani Harun (BN), Datuk Husam Musa (PH) dan Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (PUTRA).
(Datuk Abdul Ghani Harun ditemui pemberita di SK Kedai Tanjong Pasir Mas)