fb fb fb fb fb

PRK Mahkota: Calon BN mahu kekalkan semangat kekeluargaan

Foto FB Syed Hussien Bin Syed Abdullah

KLUANG, 18 September- Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berazam ingin terus mengekalkan semangat kekeluargaan yang dinikmati penduduk di kawasan tersebut.

Menurut Syed Hussien, penduduk DUN Mahkota sememangnya ibarat keluarga besarnya, tidak kira bangsa dan agama.

Beliau tidak menyangka menerima sambutan yang baik daripada pelbagai lapisan masyarakat di setiap lokasi yang dikunjungi.

"Seperti yang saya cakap tadi sebagai calon wakil rakyat, kami tidak mengamalkan janji manis bulan dan bintang tetapi apa yang kami kekalkan sifat kekeluargaan bermaksud setiap bangsa dan agama ini dekat di hati saya.

"Kita membuka ruang untuk mereka menceritakan kisah mereka kepada saya," katanya selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama-sama komuniti India di Kampung Padang Tembak di sini.

Sementara itu, memperkasakan konsep Maju Johor merupakan agenda utama yang akan diberi penekanan oleh Syed Hussien.

Menurut beliau, konsep itu merangkumi pelbagai aspek dan mengetengahkan kepentingan serta kesejahteraan kepada semua penduduk di Johor.

"Kami di peringkat negeri telah menyasar konsep Maju Johor antara yang ditekankan kerana dasar itu (Maju Johor) telah meliputi segala lapisan aspek dan juga keperluan.

"Maka teras Maju Johor ini satu perkara yang akan kita tekankan dan akan memperkasa di Mahkota," katanya.

Beliau juga berkata akan meneruskan konsep berkempen secara berkelompok pintu ke pintu meskipun memasuki minggu kedua bagi menyantuni pengundi di Mahkota.

Dalam pada itu, Kongres India Malaysia (MIC) akan terus mempergiat kempen turun padang bertemu pengundi India bagi meraih sokongan kepada Syed Hussien.

Menurut Ketua Pemuda MIC, K. Raven Kumar, lapan peratus daripada 66,318 pemilih terdiri daripada masyarakat India.

"Masyarakat India positif dengan penerimaan calon (Syed Hussien). Mereka selesa dengan calon berkenaan," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM