fb fb fb fb fb

Syed Hussien fokus pembangunan usahawan, ekonomi di Mahkota

Syed Hussien Syed Abdullah

KLUANG, 17 September- Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota di Johor memfokuskan usaha kepada pembangunan sokongan dan kemudahan bagi usahawan untuk memperkukuh ekonomi mereka.

Justeru beliau komited akan meneruskan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk meningkatkan pendedahan dan peluang perniagaan, serta memperluas perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

"Telah saya berbincang dengan pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk mencari kerjasama yang lebih baik, sama ada melalui saya atau secara langsung dengan pejabat TEKUN, bagi mempererat hubungan antara agensi dan rakyat demi memudahkan bantuan kepada rakyat di DUN Mahkota," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Bersama Usahawan TEKUN di Kampung Tengah di sini yang turut dihadiri oleh Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Dalam pada itu, golongan usahawan di DUN Mahkota melahirkan harapan tinggi agar bakal wakil rakyat kawasan tersebut dapat membantu memperkukuh ekonomi mereka dan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan.

Seorang peniaga, Rafeah Kasmin, mencadangkan agar lebih banyak premis disediakan bagi peniaga TEKUN dengan tapak perniagaan khusus dan harga yang berpatutan. "Saya cadangkan Yang Berhormat (YB) menyediakan tapak premis khas untuk peniaga TEKUN supaya kami dapat berniaga dengan lebih mudah,” katanya.

Mohd Taufik Saharuddin, peniaga muda, turut berharap agar lebih banyak lokasi perniagaan dibuka untuk usahawan baharu. "Kita kekurangan tempat berniaga yang mampu menarik ramai pengunjung. Kami juga berharap agar komuniti peniaga muda dapat diwujudkan di DUN Mahkota," katanya.

Seorang lagi peniaga, Rizal Muhni, mencadangkan agar pasar mingguan atau bulanan khas untuk usahawan TEKUN diadakan di kawasan mereka. "Kami harap ada pasar seperti bazar Ramadan, tetapi khusus untuk usahawan Tekun, sama ada mingguan atau bulanan," katanya.

1709 SYED HUSSIEN TERUS MEMPERKASA USAHAWAN DUN MAHKOTA 2
Syed Hussien Syed Abdullah (kanan) pada Majlis Bersama Usahawan TEKUN di Kampung Tengah, Kluang hari ini

SITI AISHAH MD ISA