HULU SELANGOR, 11 Mei- Suasana pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu tenang dan lancar.
Sebanyak 17 pusat mengundi yang dibuka sejak pukul 8.00 pagi tadi akan ditutup pada pukul 6.00 petang ini. Manakala 1 pusat mengundi di Bukit Fraser telah ditutup pukul 2.00 petang.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt. Ahmad Faizal Tahrim berkata anggota polis melaksanakan tugas dengan baik bagi memastikan keselamatan terjamin dan terkawal.
"Kita berharap keadaan ini dapat dikekal sehingga pukul 6.00 petang ini alhamdulillah cuaca ketika ini baik", katanya semasa meninjau pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali.
Sementara itu, pengundi dalam kalangan golongan muda yang ditemui tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi Kuala Kubu Baharu.
"Masa saya ke sini pun tiada halangan berlaku dan saya dah mengundi berjalan lancar, alhamdulillah", kata Muhammad Zahin Norizan.
"Pagi tadi cuaca agak tidak mengizinkan, jadi kami datang petang ini dan kami telah selesai mengundi", ujar Ummu Insyirah Norizan.
"Kami pun ambil cuti untuk mengundi petang. Pagi tidur, petang keluar, baru selesai alhamdulillah semua berjalan. Harap yang terbaik untuk Kuala Kubu Baharu ini", kata Saiful Idham Sufian.
Kesungguhan seorang pengundi yang baharu saja terlibat kemalangan motosikal untuk mengundi turut mendapat perhatian.
"Kali kedua kemalangan, tapi pergi juga mengundi sebab fikir untuk masa depan anak-anak juga, walaupun saya mengalami kemalangan hari ini, tapi saya dahulukan untuk mengundi", kata Nursafika Mohd Zaias yang ditemui pemberita di sini, hari ini.