fb fb fb fb fb

Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu kekal milik PH, Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi

Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Negeri, Kuala Kubu Baharu selepas calonnya, Pang Sock Tao hari ini menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 3,869 undi

HULU SELANGOR, 11 Mei - Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Negeri, Kuala Kubu Baharu (KKB) selepas calonnya, Pang Sock Tao hari ini menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi.

Keputusan PRK itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Sock Tao menewaskan pencabarnya daripada calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, calon Bebas, Nyau Ke Xin, (188) undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin (152) undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK itu.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, penghargaan wajar diberi kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke atas kemenangan tersebut.

"Tahniah, kita menghargai kerjasama daripada Anthony Loke. Tahniah kerana menang di Kuala Kubu Baharu," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan 25 Tahun parti itu di Depot Sentul, malam ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN