fb fb fb fb fb

KKB kekal milik PH, Fahmi ucap terima kasih kepada pengundi

FOTO FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang melaksanakan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini.

"Alhamdulillah, rakyat KKB pilih Perpaduan!

"Terima kasih buat semua pengundi KKB yang telah menjalankan amanah hari ini.

"Sekali lagi, tahniah buat YB Pang Sock Tao. Jalankan amanah dengan baik," kata Fahmi menerusi Facebooknya.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut mengucapkan penghargaan tidak terhingga kepada semua jentara PH dan Barisan Nasional (BN) atas kerja keras dalam memastikan kemenangan buat Sock Tao.

PH berjaya mempertahankan kerusi Dewan Negeri KKB selepas calonnya Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabarnya calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuhanas Auree Kamaruddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN
Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu kekal milik PH, Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi

SITI AISHAH MD ISA