SHAH ALAM, 11 Mei - Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang berakhir hari ini berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata sebanyak 12 laporan polis atas pelbagai kesalahan diterima dengan lima kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Beliau berkata, kempen yang bermula pada 27 April lepas itu menyaksikan dua tangkapan dilakukan berdasarkan laporan serta tujuh daripada keseluruhan laporan itu hanya melibatkan tindakan pencegahan oleh polis.
“Dua lelaki warga tempatan yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4 (A) Akta Pilihan Raya 1954 serta sudah dituduh di mahkamah, manakala untuk empat lagi kertas siasatan yang dibuka, tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Hussein, pada PRK yang berakhir dengan jumlah pengundi seramai 39,362 orang itu, sebanyak 1,133 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Selangor ditugaskan bagi mengawal keadaan.