fb fb fb fb fb

PRK KKB: Calon DAP berusia 31 tahun, bukti PH sentiasa tampilkan calon muda berwibawa

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari

SUNGAI PETANI, 30 April- Keputusan DAP meletakkan Pang Sock Tao, 31 tahun sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Kuala Kubu Baharu menunjukkan Pakatan Harapan sentiasa menampilkan calon-calon muda dan berwibawa.
 
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari berkata calon yang diketengahkan itu juga diyakini mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
 
"Saya yakin dengan calon yang ditampilkan ini, dia mempunyai rekod yang baik ketika menjadi pegawai khas kepada Menteri KPKT dan sebelum ini beliau telah berkecimpung dalam politik cukup lama walaupun usianya muda tapi pengalaman cukup luas.

"Jadi saya yakin dan percaya DAP tidak bersendirian tetapi disokong oleh seluruh parti yang lain, tidak hanya Pakatan Harapan tapi yang lebih penting parti UMNO sendiri sokong calon kita.

"Yang penting untuk kita bawa suara rakyat dan kita memenangkan calon parti Perpaduan iaitu daripada DAP kali ini insya-Allah,"katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Sungai Petani di Tikam Batu, Sungai Petani.
 
PRK Kuala Kubu Baru menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao sebagai calon Pakatan Harapan, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
 
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58 tahun, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
 
SPR menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE