fb fb fb fb fb

PRK KBB: Pembangunan setempat, kebajikan jadi keutamaan calon PH

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao (kiri) dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching (kanan) ketika ditemui pemberita selepas melakukan temu mesra di sekitar Pasar Awam, Kuala Kubu Baharu

HULU SELANGOR, 30 April - Pembangunan setempat dan kebajikan kepada semua lapisan masyarakat kekal menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao di Kuala Kubu Baharu.

Sock Tao ketika ditemui pada hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Kubu Baharu (KKB) berkata beliau terus bersemangat untuk meneruskan kerjaya politiknya biar pun diserang secara peribadi sepanjang tempoh berkempen.

"Saya kena fokus dan tidak boleh lari dari fokus saya kerana bagi saya itu (serangan peribadi) tidak relevan kepada rakyat Kuala Kubu Baharu (KKB), rakyat setempat mereka mahukan orang yang boleh bantu dan berkhidmat. Untuk itu, dengan hati yang ikhlas dan iltizam yang tinggi saya yakin saya mampu dan boleh melakukannya.

"Kita perlu mengamalkan politik matang dan saya harap pencabar-pencabar boleh berkempen dengan berhemah dan saya sendiri tidak mahu ulas isu peribadi orang lain," katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan temu mesra di sekitar Pasar Awam, Kuala Kubu Baharu bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata Pakatan Harapan (PH) tidak mahu terlalu selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) kali ini sebaliknya mahu semua jentera terus melakukan kempen secara sihat dan konsisten.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata walaupun PH berjaya mempertahankan kerusi berkenaan selama tiga penggal, namum tidak akan mengambil mudah terhadap cabaran pada PRK kali ini.

"Ini baru hari keempat dan kita tahu bahawa untuk sesuatu PRK, kadar mengundi (dijangka) rendah jadi saya rasa itu merupakan (antara) cabaran. Kita akan berkempen sehingga saat akhir dan kita akan lipat gandakan kempen ini kerana ia adalah penting bukan sahaja untuk DAP, PH tetapi juga (penting) untuk kerajaan negeri Selangor," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN