fb fb fb fb fb

Calon PH umum manifesto Jumaat ini

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao

HULU SELANGOR, 29 April - Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao akan melancarkan manifesto pilihan raya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu pada Jumaat ini (3 Mei).

Pang, 31, berkata manifesto yang dirangka dengan teliti bagi PRK Kuala Kubu Baharu itu memiliki tawaran komprehensif melibatkan pembangunan penduduk termasuk komuniti Orang Asli.

"Saya rasa kempen ini harus fokus apa tawaran calon kepada warga Kuala Kubu Baharu, jadi saya rasa isu yang releven adalah apa tawaran kita apa perancangan kita maka saya akan membuat pengumuman mengenai manifesto saya pada Jumaat minggu ini," katanya kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama-sama Orang Asli Kampung Tun Razak, di sini.

Selain itu, Pang turut menyatakan bagi memahami masalah dan berbakti kepada penduduk setempat beliau telah menetap di Kuala Kubu Baharu sebelum kempen bermula.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan kerusi berkenaan berkata sekiranya diberikan mandat, beliau boleh memainkan peranan sebagai jambatan antara penduduk dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

Pada PRK itu, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pang yang mewakili PH, Khairul Azhari (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei.

TETITIA YUSOFF