fb fb fb fb fb

PRK Kemaman: Calon BN puas hati proses pengundian lancar

Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi turut berkesempatan bertemu dan beramah mesra bersama pengundi dan petugas SPR

KEMAMAN, 2 Disember- Calon parti Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor melahirkan rasa puas hati melihat kelancaran proses pengundian bagi Pilihanraya Kecil (PRK) P040 Kemaman hari ini.

Beliau berkata, kecekapan petugas SPR dan inisiatif pengundi yang keluar awal mengundi di saluran satu dan dua menjadi faktor utama proses pengundian berjalan lancar.

Namun begitu menurutnya, trend keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda sedikit perlahan pada pagi tadi.

"Saya lihat tempat mengundi ini teratur baik dan saya ucapkan tahniah kepada SPR yang telah berjaya menguruskan tempat dengan baik.

Pun begitu, di sini, jumlah pengundi masih tidak berapa ramai, mungkin masih awal,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Kerteh.

Dalam lawatan itu, beliau berkesempatan bertemu dan beramah mesra bersama pengundi dan petugas SPR disitu.

Beliau turut menyeru pengundi untuk keluar mengundi awal dan tidak menunggu pada saat akhir untuk menjalankan tanggungjawab mereka. 

Di pusat mengundi SK Kampung Baru Kerteh, Seramai 5,439 pengundi berdaftar melibatkan sembilan saluran bakal mengundi hari ini.

Secara keseluruhan, seramai 141,043 pengundi layak mengundi untuk PRK Kemaman hari ini melibatkan 244 saluran di 49 lokasi pusat mengundi, bermula 8 pagi sehingga 6 petang nanti.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE