KEMAMAN, 2 Disember- Seramai 1,113 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di kesemua pusat mengundi bagi memastikan kawalan keselamatan sepanjang proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman lancar.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan juga berkata 112 anggota trafik turut dikerah bagi menjaga lalu lintas dalam memudahkan pengundi melunaskan tanggungjawab dengan selesa.
Menurut Mazli, 12 kumpulan Ops Cantas juga ditempatkan di kawasan panas sekitar pusat pengundian itu bagi memantau suasana agar tiada sebarang gangguan perjalanan proses hari ini.
"Setakat ini, PRK Kemaman berjalan lancar. Walaupun ada sedikit gangguan tetapi kita dapat uruskan dengan baik, ditambah kerjasama semua agensi. Pada pagi ini, kita melihat semua pusat-pusat mengundi sudah beroperasi dan kita minta supaya semua pihak patuh undang-undang, beri peluang kepada semua pengundi mengundi dalam keadaan yang selamat," kata Mazli ketika meninjau proses perjalanan pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail.
Sementara itu, pengundi warga emas menjadi antara pengundi terawal yang tiba dan beratur di SMK Sultan Ismail bagi melunaskan tanggungjawab pada PRK itu.
Mereka hadir seawal pukul 7.00 pagi tadi.
"Memang mak cik datang awal. Sejak muda sehingga ke hari ini, setiap kali ada pilihan raya memang akan datang awal. Jika lambat ke pusat mengundi, akan beratur panjang. Memang semangat, kerana itu tanggungjawab kita," kata pengundi, Kasmani Che Mat.
"Setiap kali pilihan raya, kita akan tiba awal sebab ada perkara lain perlu diuruskan. Kita juga tidak mahu kelam kabut," kata pengundi, Omar Hussin.
Seramai 1,598 pemilih berdaftar layak mengundi di SMK Sultan Ismail dengan tiga saluran mengundi disediakan.
Dalam pada itu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 27 peratus pengundi keluar mengundi setakat pukul 11.00 pagi tadi.