fb fb fb fb fb

PRK DUN Pelangai: Pusat pengundian dibuka, daftar pemilih mula tunai tanggungjawab

BENTONG, 7 Oktober- Sebanyak sembilan pusat pengundian dengan 30 saluran dibuka, tepat pukul 8 pagi tadi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ia melibatkan tiga pusat mengundi yang terletak dalam kawasan Felda, masing-masing Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi, Sekolah Kebangsaan Felda Kemasul dan Sekolah Kebangsaan (Felda) Sungai Kemahal.

Pusat mengundi lain adalah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Telemong, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pelangai, Sekolah Kebangsaan Pelangai, SKJC Manchis, Dewan Serbaguna Sungai Gapoi dan Balai Raya Kampung Sungai Perdak.

Seramai 312 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertugas bagi proses pengundian berkenaan, melibatkan 16,383 daftar pemilih.

Sementara itu, calon N36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai mewakili parti Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat tiba ke pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi pada pukul 8.20 pagi tadi. 

Beliau yang juga dikenali sebagai Cikgu Kasim turut hadir bersama isterinya, Nor Atikah Abu Bakar sempat menyantuni para pengundi sebelum menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di saluran dua. 

"Saya dan isteri saya sama-sama tadi masuk di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Chemomoi untuk mengundi," katanya.

rtm
(Calon PN, Kasim Samat bersama isteri mengundi di SMK Felda Chemomoi pada pukul 8.20 pagi tadi)

Pusat mengundi di SMK Felda Chemomoi mempunyai lima saluran yang dibuka kepada pengundi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dan dibantu 35 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melancarkan proses pengundian sepanjang hari ini. 

Bagaimanapun hanya Cikgu Kasim  menjalankan tanggungjawab mengundi di DUN Pelangai memandangkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli merupakan pengundi berdaftar di DUN Ketari yang juga di bawah Parlimen Bentong. 

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara parti BN, PN dan Bebas. 

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lepas. 

Media Baharu